Wednesday, July 9, 2008

PANDUAN GURU

CIRI-CIRI PEGAWAI BERKUALITI

1. Mempunyai penampilan diri dan perawakan yang ceria.
2. Berpengetahuan luas dan matang.
3. Boleh merancang sebarang program.
4. Sentiasa bersikap positif dan proaktif.
5. Mempunyai daya kreatif dan berinovasi.
6. Mempunyai keazaman yang tinggi terhadap kerjanya.
7. Mempunyai daya tahan yang kental.
8. Memiliki nilai kepimpinan yang jitu.
9. Sensitif dan peka kepada keadaan semasa.
10. Memiliki nilai-nilai murni dan berhemah tinggi.
11. Sentiasa memberi keutamaan kepada pelajar-pelajarnya.

PANDUAN PENGURUSAN BILIK DARJAH

1. Sentiasa berusaha menjadikan bilik darjah menarik , selesa dan kemas.
2. Sentiasa berusaha mewujudkan budaya penyayang di kalangan para pelajar.
3. Berkeupayaan membuat kawalan yang baik dan menghindarkan suasana bising di bilik darjah.
4. Sentiasa mampu memberikan motivasi serta kesedaran kepada pelajar tentang pengurusan diri.
5. Buku kedatangan murid sentiasa di kemaskini ( up to date).
6. Jadual tugasan murid dipamerkan di bilik darjah.
7. Jadual waktu pembelajaran juga dipamerkan di bilik darjah.
8. Graf prestasi dan senarai pencapaian ujian bulan dipamerkan di bilik darjah.
9. Penggunaan alat bantu mengajar ( ABM ) yang maksimum dan penyimpanan yang sempurna.
10. Keceriaan diri murid sentiasa diberi perhatian.

SENARAI TUGAS GURU MATA PELAJARAN

1. Menyempurnakan buku rekod mengajar dengan menyediakan rancangan pengajaran dan
pembelajaran tahunan, mingguan dan harian. Buku ini hendaklah sentiasa dikemaskini dan dihantar
setiap hari Khamis sebelum loceng pulang dibunyikan.
2. Sentiasa merancang gerak kerja murid dan kerja rumah.
3. Memeriksa buku-buku rampaian pelajar pada setiap masa.
4. Mengadakan ujian bulanan, penggal dan akhir tahun serta merekodkan markah pencapaian pelajar di
dalam buku rekod mengajar atau buku rekod kemajuan murid.
5. Menyediakan soalan-soalan ujian dan memeriksanya serta selaras dengan kehendak panitia mata
pelajaran.
6. Menyerahkan markah-markah ujian/peperiksaan kepada guru kelas berkenaan.
7. Membuat analisa keputusan ujian/peperiksaan bagi mata pelajarannya.
8. Mengambil berat akan kemajuan akademik pelajar-pelajarnya.
9. Menentukan gerak kerja bertulis diadakan pada setiap kali masuk mengajar sama ada di dalam kelas
atau di rumah.
10. Menanamkan semangat kepimpinan, kesedaran sivik dan akhlak yang baik kepada pelajar-pelajar.
11. Mengadakan kelas-kelas bimbingan jika perlu.
12. Mengambil tahu atau tindakan perlu bila berlaku perubahan sukatan pelajaran.
13. Sentiasa berusaha menggunakan berbagai-bagai kaedah pengajaran yang baik untuk menarik minat
para pelajar.
14. Mengawasi dan memastikan keadaan bilik darjah bersih, teratur, semua alat bantu mengajar berada di
dalam kelas dan berkeadaan baik serta disiplin pelajar terkawal pada setiap masa.
15. Menghadiri mesyuarat panitia mata pelajaran apabila dipanggil oleh guru guru kanan mata pelajaran
berkenaan.
16. Menghadiri kursus-kursus tertentu yang dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan
Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah atau pihak sekolah.
17. Melaksanakan lain-lain tugas yang diarahkan oleh Guru Besar dari ke semasa.

SENARAI TUGAS GURU KELAS

1. Bertindak sebagai ibubapa kepada para pelajar di dalam kelasnya dan sentiasa bertanggungjawab
terhadap:
1.1. Disiplin para pelajarnya sesuai dengan peraturan sekolah.
1.2. Cara berpakaian pelajarnya yang sentiasa kemas dan rapi.
1.3. Kebersihan dan kekemasan kelasnyaa.
1.4. Pelantikan Ketua Darjah dan Penolongnya serta Jadual Bertugas Harian pelajar dalam kelasnya.
2. Mesti mengetahui nama para pelajar di kelasnya, latar belakang keluarganya, masalah mereka
hadapi, kesihatan mereka dan maju mundur pelajarannya.
3. Bertanggungjawab memberi penerangan yang jelas mengenai undang-uindang dan peraturan sekolah
serta memastikan setiap pelajar mematuhinya.
4. Mengisi dan menanda Buku Kedatangan murid dengan betul dan segala butiran yang dikehendakinya
serta dikemaskini dari semasa kesemasa.
5. Mengisi butir-butir kemajuan akademik dan lain-lainnya ke dalam Buku Rekod Kemajuan pelajaran
dan juga senarai markah ujian / peperiksaan, kemudiannya diserahkan kepada Guru besar untuk
semakan dan pengesahan.
6. Mengisi Rekod Sulit Peribadi Murid / Pelajarnya sebagaimana yang dikehendaki.
7. Membahagi, menyusun dan mengumpul borang-borang dan buku SPBT menurut peraturan yang
ditentukan oleh Guru SPBT.
8. Melaksanakan pungutan wang bayaran persekolahan yang ditetapkan oleh pihak sekolah,
mengeluarkan resit akuan terimaan kepada pelajar dan tandakan di dalam Buku Rekod Mengajar atau
Buku Kedatangan Murid untuk tujuan semakan.
9. Memberi kerjasama kepada semua guru terutama kepada guru pengawas / guru disiplin dan guru
bertugas mingguan.
10. Menentukan keadaan bilik darjah dan peralatannya sentiasa berkeadaan baik. Kerosakan yang
mungkin terjadi kerana kecuaian atau sengaja oleh pelajar akan diminta menggantinya.
11. Menyiapkan jadual waktu darjah dan mendapat pengesahan Guru Besar sebelum ditampalkan.
12. Memastikan akan sebab-sebab kenapa pelajar tidak hadir ke sekolah dan tidak diberitahu dengan lisan
atau bersurat.
13. Sentiasa menanam semangat kepimpinan, kesedaran sivik, berbudi bahasa, ingin belajar, bermotivasi,
kreativiti dan lain-lain yang berfaedah kepada para pelajar. Guru darjah juga adalah contoh dalam
mencerminkan keperibadian yang baik dan harus diteladani.
* Lain-lain tugas yang diarahkan oleh Guru Besar dari masa ke semasa.

Read more...

TERAS PERKHIDMATAN

TERAS PERKHIDMATAN

Berazam meninggikan mutu perkhidmatan
Bekerja dengan penuh tanggungjawab
Berusaha mengikis sikap mementingkan diri
Berkhidmat dengan penuh muhibbah dan kemesraan
Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara
Bekerja dalam membenteras kelemahan dan musuh-musuh negara
Berpegang teguh kepada ajaran agama

Read more...

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Pendidikan Di Malaysia Adalah Suatu Usaha Yang Berterusan Ke Arah
Memperkembangkan Potensi Individu Secara Menyeluruh Dan Bersepadu Untuk Melahirkan Insan Yang Seimbang Dan Harmonis
Dari Segi Intelek, Rohani Dan Jasmani
Berdasarkan Kepercayaan Dan Kepatuhan Kepada Tuhan.
Usaha Ini Adalah Bertujuan Untuk Melahirkan
Warganegara Malaysia
Yang Berilmu Pengetahuan, Berketrampilan, Berakhlak Mulia,
Bertanggungjawab Dan Berkeupayaan Mencapai Kesejahteraan Diri Serta
Memberi Sumbangan Terhadap Keharmonian Dan Kemakmuran
Keluarga, Masyarakat Dan Negara.

OBJEKTIF KEMENTERIAN PELAJARAN

1. Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersepadu.
2. Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketrampilan dan sejahtera.
3. Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan kemajuan negara.
4. Memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.

MISI JABATAN PELAJARAN NEGERI KELANTAN

Menerima dan melaksanakan semua program Kementerian Pelajaran bagi merealisasikan Misi Kementerian Pelajaran iaitu mewujudkan sistem pelajaran yang terbaik untuk menghasilkan insan yang berketrampilan dan yang mempunyai daya aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara.

Read more...

DOA KAMI


Doa Kami
Ya Allah, kami mohon kepadaMu, agar diperelokkan agama yang menjadi pegangan urusan hidup kami, dunia yang menjadi tempat sementara hidup kami, akhirat yang menjadi tempat kami akan kembali, jadikanlah hidup ini untuk menambahkan kebaikan dan mati kami untuk merehatkan diri
dari segala keburukan.

Ya Allah, perbaikilah diri antara kami, jinakkanlah antara hati kami, tunjukkanlah kami jalan yang selamat, selamatkan kami daripada kegelapan kepada yang terang, jauhkanlah kami daripada perbuatan keji, baik yang nampak, mahupun yang tersembunyi, ya Allah, limpahkanlah keberkatan kepada kami, pendengaran dan penglihatan kami, para isteri dan anak-anak kami, sahabat handai dan rakan taulan kami serta pemimpin kami
yang telah berjasa kepada kami.

Ya Allah, kami memohon kepadaMu kebaikan sama ada yang kami telah tahu atau yang belum kami ketahui, kurniakan kepadakami nikmat dan rahmat yang berpanjangan, tubuh badan yang sihat,
akal fikiran yang sejahtera, semangat yang membara
bagi mempertingkatkan kualiti kerja.

Ya Allah, kami mohon perlindunganMu dari segala keburukan, hasad dengki dan iri hati, sama ada kami telah tahu atau yang belum kami ketahui, ya Allah, lembutkan dan satukanlah jiwa-jiwa hambaMu ini, agar wujud kesepakatan dan kesefahaman antara kami, bagi menunaikan tugas yang diamanahkan, dengan lebih berkesan, meneruskan khidmat bakti kepada agama,
bangsa dan negara.

Ya Allah, kami mohon limpah kurnia dan ehsanMu, anugerahkan kami ilmu yang bermanfaat, hati yang khusu'. amalan yang Engkau terima, rezeki yang luas, jalan yang lurus yang Engkau redhai, bukakanlah pintu hati kami, agar kami sentiasa mendapat taufiq dan hidayah, mampu membuat keputusan dengan tepat, selari dengan kehendakMu ya Allah, untuk membina insan rabbani yang berkualiti dan masyarakat cemerlang,
di samping memperoleh rahmat dan keredhaanMu.

Ya Allah, terimalah segala kerja dan khidmat bakti kami dengan sempurna,
sebagai amal. Amin.

Read more...

Tuesday, July 8, 2008

FALSAFAH, OBJEKTIF & MATLAMAT

FALSAFAH SEKOLAH

Bahawasanya murid-murid yang ada di sekolah ini adalah mempunyai kebolehan dan potensi untuk berkembang maju dari segi inteleknya. Dengan itu seluas-luasnya peluang akan diberi kepada murid-murid di sekolah ini untuk mengembangkan intelek itu. Bahawasanya kami tenaga pengajar di sekolah ini mempunyai keupayaan dan kebolehan ikhtisas untuk memberi pelajaran yang sempurna dan bermutu bagi memajukan pelajaran murid-murid di sekolah kami.


OBJEKTIF SEKOLAH

Merancang, menyusun dan melaksanakan program kearah Pendidikan yang berkualiti.
Meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam semua pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah, khasnya dalam peperiksaan UPSR.
Meningkatkan penyertaan dan prestasi pelajar-pelajar dalam bidang kokurikulum.
Mewujudkan program-program yang boleh dianjurkan untuk peningkatan akademik dan sahsiah murid.
Meningkatkan kualiti disiplin murid supaya sentisa terkawal.
Membina iklim dan suasana keselamatan, indah dan ceria agar wujud persekitaran yang harmoni dan kondusif.
Menyokong proses P & P yang memberansangkan.
Meningkatkan kualiti profesionalisme guru-guru dalam semua aspek keguruan.
Meningkatkan kualiti pengurusan sekolah secara sistematik, kemas dan terkini.
Mewujudkan hubungan dua hala yang harmoni, saling bantu membantu dan penyayang.
Sentiasa menjaga hubungan mesra dan permuafakatan dengan komuniti persekitaran melalui program yang dianjurkan oleh PIBG.
Meningkatkan semangat jati diri, cinta Negara, rasa bersyukur, berterima kasih, proaktif dan kreatif melalui program-program kepimpinan dan kokurikulum.


MATLAMAT SEKOLAH

Menyediakan Pendidikan yang berkualiti bagi mencapai kecemerlangan ilmu sebagai persediaan pendidikan bertaraf dunia.
Melahirkan kesejagatan kepimpinan pelajar cemerlang dan bersifat kamil.
Melahirkan pelajar-pelajar yang mantap, kejituan jati diri dan semangat patriotisme.
Mewujudkan iklim dan persekitaran sekolah yang harmoni, kondusif dan ceria.
Meningkatkan kualiti profesionalisme guru-guru dan sentiasa memberi peluang.
Melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam kepimpinan, akademik dan kokurikulum.
Melahirkan pelajar yang berorientasikan sains dan teknologi dan mahir ICT.
Meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar.
Mewujudkan kerjasama dan permuafakatan yang mantap dengan komuniti.

DASAR KUALITI SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Sri Suria (1) beriltizam merealisasikan Pengurusan Pendidikan yang berkualiti dan bersepadu di semua aspek pendidikan untuk memenuhi citarasa dan kehendak serta keperluan pelajar, masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Read more...

PIAGAM PELANGGAN

PIAGAM PELANGGAN

Bahawa kami warga SK Sri Suria (1) berjanji untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan kami seperti berikut :-

Memberi layanan mesra dan segera.
Memberi perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti.
Menyediakan suasana yang selesa di sekolah termasuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Bersedia menyelesaikan masalah yang berkaitan.
Memastikan program-program pembelajaran dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Berusaha melahirkan guru-guru yang berkualiti, berinovasi dan kreatif.
Memberi peluang seluas mungkin kepada semua murid dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.
Memastikan tiada hasil kecuali kecemerlangan.

MURID :
Memastikan semua murid menerima P&P mengikut masa yang diperuntukkan.
Memastikan semua murid mendapat layanan yang adil.
Memastikan semua murid yang layak mendapat pinjaman buku teks untuk tahun berikutnya menerima buku teks pada hujung tahun semasa, sebelum sesi persekolahan berakhir.
Memastikan semua murid tahap dua mendapat peluang menyertai kegiatan kokurikulum sekurang-kurangnya satu persatuan, satu kelab beruniform dan satu aktiviti sukan / permainan.
Peluang diberi kepada murid tahap satu untuk menyertai satu aktiviti kokurikulum mengikut minat dengan kebenaran ibu bapa.

KAKITANGAN:
Setiap kakitangan sekolah menerima latihan dalaman dalam bidang masing-masing sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Sebarang masalah/kesulitan yang dihadapi oleh setiap kakitangan akan diambil tindakan segera, tidak lebih dari 3 hari.

IBU BAPA / PENJAGA:
Setiap ibu bapa / penjaga murid yang berurusan dengan sekolah akan dilayan secara adil dan mesra.
Setiap aduan akan disiasat dan maklum balas akan diberi tidak lebih dari 3 hari bekerja.
Setiap cadangan/usul yang baik dan munasabah akan dipertimbangkan oleh pihak sekolah.

KEMENTERIAN PELAJARAN:
Memastikan setiap arahan dan permohonan pihak Kementerian Pelajaran diambil tindakan selewat-lewatnya sehari selepas surat/arahan diterima.

Read more...

SENIKATA LAGU SEKOLAH


Seindah nama, secerah sinar
Menerangi alam yang gelita
Sri Suria, Sri Suria
Taatkan guru serta Negara

Citamu dijunjung bersama
Berbakti pada nusa bangsa
Membimbing belia ke akhlak mulia
Itulah harapan bangsa

Seindah nama secerah sinar
Menerangi alam yang gelita
Marilah kita bersama-sama
Jayakan cita-cita bangsa


Read more...

LENCANA SEKOLAH



LENCANA SEKOLAH



PENGERTIAN LENCANA

WARNA
1. PUTIH – MELAMBANGKAN KESEDIAAN MURID UNTUK MENERIMA PENDIDIKAN

2. MERAH – MELAMBANGKAN SEMANGAT JUANG YANG TINGGI UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN

3. KUNING – MELAMBANGKAN KEPATUHAN DAN KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

LAMBANG

1. COGAN NEGERI – MELAMBANGKAN SEKOLAH INI BERADA DALAM NEGERI KELANTAN

2. PELITA – MELAMBANGKAN ILTIZAM GURU-GURU UNTUK MEREALISASIKAN MISI DAN VISI SEKOLAH

3. BUKU DAN PENA – MELAMBANGKAN PEMBUDAYAAN ILMU DALAM SEMUA BIDANG PENDIDIKAN

4. ALATAN SUKAN – MELAMBANGKAN PEMANTAPAN FIZIKAL DAN MENTAL MURID MELALUI SUKAN

SLOGAN – MELAMBANGKAN USAHA YANG BERTERUSAN UNTUK MENCAPAI KECEMERLANGAN


BENDERA SEKOLAH
Bendera sekolah berwarna kuning dengan logo sekolah di tengah-tengah.

Read more...

MISI, VISI DAN HALATUJU SEKOLAH

MISI
• Berazam memberi pendidikan yang berkualiti, berinovasi dan berkesan
dalam semua aspek
• Menyediakan persekitaran yang kondusif, kreatif dan selamat serta sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran
• Mengamalkan pengurusan dan pentadbiran yang telus, mesra dan segera serta berkualiti dengan berkonsepkan permuafakatan penentu kejayaan

VISI
Menjadikan Sekolah Kebangsaan Sri Suria (1) Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dalam semua bidang pendidikan menjelang tahun 2010

SLOGAN
‘Bersama Menjana Kegemilangan’

MOTO
‘Berusaha Mencapai Kejayaan’

Read more...

SENARAI GURU BESAR SK SRI SURIA 1

1 1956-1958 EN. TIFLA HJ. ZAKARIA
2 1959-1959 EN. SALLEH B. HJ. ISA
3 1950-1960 EN. ABU BAKAR B. ABDULLAH
4 1961-1964 EN. ZAINUDDIN B. HJ. ZAINI
5 1965-1965 EN. CHAN CHI YAN
6 1966-1966 EN. WAGUMAN TUSRAN
7 1967-1974 PN. RABIATUL BT. ABD. MAJID
8 1974-1979 TN. HJ. ZAINAL B. OTHMAN
9 1980-1985 TN. HJ. NIK NAWI B. NIK YUSOF
10 1986-1989 EN. ABD. RASHID B. IBRAHIM
11 1989-1990 TN. HJ. NIK NAWI B. NIK YUSOF
12 1991-1992 TN. HJ. MOHD. ABD. AZIZ B. OSMAN
13 1992-1993 TN. HJ. MUSTAPHA B. ABD. KADIR
14 MAR 1993-FEB 1997 EN. ISMAIL B. SULAIMAN
15 MAR 1997-JUL 1998 TN. HJ. MOHD NOOR B. AWANG
16 OGO 1998-MAC 2000 EN. OMRAN B. OMAR
17 APR 2000-SEKARANG YM TN. HJ TENGKU HAMZAH B KU SEMAN

Read more...

SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN SRI SURIA (1), TANAH MERAH, KELANTAN.

Keluasan Tanah : 6.3 ekar
Alamat : Jalan Klinik, Tanah Merah, Kelantan.
Lokasi : Luar bandar

PENUBUHAN
Sekolah Kebangsaan Sri Suria (1), pada asalnya adalah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Tanah Merah telah ditubuhkan pada tahun 1956. Nama asal sekolah ini ialah Government English School Tanah Merah. Pada tahun 1975, nama sekolah ini telah ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan Sri Suria, kerana mulai dari tahun itu media bagi semua darjah ialah dalam Bahasa Malaysia. Pada asasnya penubuhan sekolah ini adalah hasil kesedaran para ibu bapa dan pegawai-pegawai kerajaan dalam jajahan ini untuk menubuhkan sebuah sekolah aliran Inggeris. Sebuah jawatankuasa telah dibentuk dan dinamakan ‘Jawatankuasa Pelajaran Tanah Merah’. Jawatankuasa ini telah ditubuhkan dalam tahun 1955 dan jawatankuasa inilah yang bertanggungjawab atas penubuhan sekolah ini.



BANGUNAN SEKOLAH
Semenjak ditubuhkan pada tahun 1956, sekolah ini telah menumpang di bangunan Sekolah Melayu Tanah Merah sehinggalah ke tahun 1959. Pada pertengahan tahun 1959, sekolah ini telah mendapat sebuah bangunan baru yang mengandungi enam bilik darjah, dua tandas, dan sebuah stor di atas tanah seluas 6 ekar.

Oleh kerana perkembangan pesat dalam bidang pelajaran dan pertambahan murid-murid sekolah menengah yang begitu cepat, maka bangunan sekolah ini telah diambil oleh Sekolah Menengah Dato’ Mahmud Paduka Raja untuk dijadikan sekolahnya pada tahun 1970.


Mulai tahun itu sekolah ini telah menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Tanah Merah dan murid-muridnya belajar di sebelah petang. Secara kebetulan pula bangunan asrama Sekolah Menengah Dato’Mahmud Paduka Raja telah siap akhir tahun 1973. Setelah berunding dengan pihak sekolah tersebut serta Jabatan Pendidikan Kelantan maka sekolah ini telah dibenarkan menggunakan bangunan asrama tersebut sebagai sekolah sementara bangunan baru sekolah ini dibina. Mulai tahun 1974 sekolah ini menggunakan asrama Sekolah Menengah Mahmud Paduka Raja sebagai bangunan sekolah.

Pada 1 Februari 1995, pembinaan bangunan baru sekolah ini telah dimulakan di atas tanah No.Lot 1/75 yang berkeluasan 6 ekar 30 depa yang berhampiran dengan Pusat Kesihatan Kecil Tanah Merah. Usaha untuk mendapatkan bangunan baru sekolah ini adalah atas desakan dan rayuan daripada jemaah pengurus serta PIBG sekolah ini di bawah Yang Dipertua PIBG En. Ashaari Azmi b. Hj. Abdullah. Usaha tersebut bertambah kuat lagi dengan sokongan yang diberikan oleh Menteri Pelajaran pada masa itu. Yang Berhormat Hj. Mohamad b.Yaacob. Pihak Jabatan Pelajaran Kelantan juga memainkan peranan penting dalam usaha menyegerakan pembinaan bangunan sekolah ini.

SEJARAH NAMA SRI SURIA
Pada 15 Ogos, 1976 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Tanah Merah telah berpindah untuk kali terakhirnya ke bangunan barunya sendiri dan namanya ditukar menjadi SEKOLAH RENDAH KEBANGSAAN SRI SURIA. Perkataan ‘SRI’ adalah sempena ‘Sekolah Rendah Inggeris’. Bangunan baru Sekolah Kebangsaan Sri Suria mempunyai 3 tingkat dengan 18 bilik darjah, 1 bilik guru, 1 ruang pejabat, 4 buah bilik stor dan sebuah perpustakaan, 5 buah bilik darjah di tingkat bawah mempunyai dinding lipat yang boleh dibuka untuk dijadikan dewan sekolah yang mana sekarang dinamakan ‘Dewan Gemilang’.

Satu lagi sejarah perpindahan berlaku pada sekolah ini pada tahun 1974, dimana bangunan lama Sekolah Kebangsaan Tanah Merah telah dirobohkan untuk didirikan bangunan yang baru. Oleh kerana itu, Sekolah Kebangsaan Tanah Merah telah menggunakan sepenuhnya bangunannya yang tinggal itu untuk pengajian sesi pagi dan petang. Beberapa cadangan telah dikemukakan oleh ibu bapa supaya sekolah ini belajar di sebelah petang di tiga tempat berasingan iaitu separuh di SRJK(C)Yuk Cheng. Separuh lagi di Sekolah Arab Al-Ihsan, Bangunan Merdeka, dan sebagainya. Pihak sekolah, jemaah pengurus dan PIBG telah berusaha membatalkan cadangan tersebut kerana terlalu rumit untuk ditadbir.

Era penyerahan bangunan dan kawasan sekolah bermula semula pada tahun 1982, dimana satu blok bangunan satu tingkat terpaksa diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Kelantan untuk dijadikan Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah, Machang, dan Jeli. Pada tahun 1987, sebahagian lagi tapak sekolah ini diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Sri Suria 2. Peristiwa itu tidak terhenti di situ sahaja, di mana pada tahun 1994 sebahagian lagi tapak sekolah ini dan bangunan ini ditumpangi pula oleh Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Suria 3 sehinggalah pada tahun 2002, Sekolah Kebangsaan Sri Suria 3 telah berpindah ke bangunannya sendiri di Padang Che Minah.

Pada tahun 2002, dua buah blok bangunan kayu lama telah dirobohkan untuk didirikan bangunan gantian sekolah 4 tingkat yang baru. Ianya meliputi bilik pejabat, pusat sumber, bilik makmal, bilik kemahiran hidup, bilik muzik, bilik mesyuarat,serta bilik guru. Bangunan ini mula beroperasi pada Januari tahun 2003. Pada bulan Disember tahun 2003 pula, bilik pra sekolah telah mula dibina dengan mengubahsuai dua buah bilik darjah di blok bangunan kayu yang lama. Kelas Pra sekolah ini mula digunakan pada sesi pengambilan 2004. Pada bulan Februari tahun 2004, sekolah ini sekali lagi mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk didirikan 2 tingkat bangunan komputer yang siap sepenuhnya pada bulan Jun 2004. Meskipun menempuh pelbagai cabaran, namun sekolah ini tetap berjaya menjadi ‘Sekolah Perkasa’ yang berjaya menggarap kecemerlangan dan keperkasaannya di bidang akademik, kepimpinan dan kokurikulum.

Read more...

Followers

WEBLOG SK SRI SURIA 1: UNIT j-QAF

Weblog ini memaparkan program, aktiviti dan informasi mengenai warga sekolah khasnya program-program j-QAF.

  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP