Thursday, April 22, 2010

PROGRAM GERAK GEMPUR AL-QURAN TAHUN 6 2010

Program Gerak Gempur Al-Quran Tahun 6 diadakan pada hari Jumaat, 23 April 2010 bermula pada jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Program ini dikendalikan oleh semua guru j-QAF SK Sri Suria 1 di Surau Al-Syakirin.

Sasaran program ialah seramai 60 orang murid Tahun 6 yang masih belum khatam Al-Quran. Objektif utama program ialah supaya semua murid ini akan dapat khatam Al-Quran dalam tempoh sebelum bulan Mei 2010. Penyelaras program ini, Ustaz Wan Ibrahim Wan Ali berharap agar program ini dapat dijalankan dengan sempurna dan mendapat keberkatan daripada Allah swt.

Selepas program bagi Tahun 6 ini berjaya dilaksanakan, program bagi Tahun 5 akan menyusul dimana murid-murid Tahun 5 pula akan menyertai program gerak gempur Al-Quran. Matlamatnya ialah supaya semua murid akan dapat khatam Al-Quran di peringkat sekolah rendah lagi.

Read more...

Saturday, February 6, 2010

PROGRAM TASMIK AL-QURAN 2010

Program Tasmik Al-Quran 2010 bermula pada minggu kedua persekolahan iaitu pada 10 Januari 2010.
Program ini melibatkan semua murid SKSS1 dari tahun 1 hingga 6 mengikut hari-hari yang telah ditentukan.

Read more...

Sunday, January 10, 2010

PEDOMAN MUSLIM

AKHLAK ORANG BERIMAN.
1. Sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t.
2. Takut kepada kemurkaran Allah dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.
3. Mengabdikan diri hanya kepada Allah dan tidak bergantung harap kepada makhluk.
4. Bersih hati dari berkehendakkan harta dunia yang melebihi keperluan .
5. Bersabar serta tabah menghadapi segala ujian dari Allah S.W.T.
6. Bersyukur dengan setiap nikmat Allah terutamanya nikmat iman.
7. Ikhlas menunaikan segala amal ibadat semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.
8. Tawakal atau berserah diri kepada Allah setelah merancang dan berusaha.
9. Kasih kepada Allah (Mahabbah) dan sentiasa terdorong untuk melakukan amal ibadat di samping menghindari maksiat.
10. Redha dengan Qada dan Qadar atau ketentuan nasib yang telah ditakdirkan oleh Allah swt.
11. Sentiasa mengingati detik kematian.

HAYAT INSAN.
Bermula hayat kita di dunia ini hanyalah buat tiga saat.
Iaitu saat yang telah berlalu dari kita.
Saat yang tidak kita ketahui sama ada akan berpeluang untuk menemuinya.
Saat ini di mana kita berada di dalamnya.

Maka hendaklah dipergunakan kesempatan itu dengan sebaik mungkin
kerana kita tiada masa kecuali satu saat sahaja, sedangkan saat kematian,
dari saat ke saat semakin menghampiri kita.

CARA MENGUBATI HATI.
Ada lima cara untuk mengubati hati;
iaitu dengan duduk dekat dengan orang soleh,
membaca Al Quran,
mengosongkan perut (berpuasa),
bangun pada waktu malam (mengerjakan solat tahajjud, berzikir ,bertafakur)
dan merendah diri (kepada Allah) menjelang subuh.

JIWA SEORANG MUSLIM SEJATI.
1. Tidak Menghiraukan Ancaman Dan Kecaman.
2. Tidak Menghiraukan Kutukan Dan Umpatan.
3. Tidak Menghiraukan Keseronokkan Dan Permainan.
4. Tidak Mengejar Apa Yang Bukan Haknya.
5. Tidak Menghina Diri Tatkala Meminta Maaf.
6. Tidak Bergembira Melihat Kesusahan Orang Lain.

Read more...

Saturday, January 9, 2010

PROGRAM j-QAF 2010

Antara program-program j-QAF yang akan diadakan pada tahun 2010 ini adalah Kem Bestari Solat, Kem Literasi Al-Quran dan Tasmik. Semua murid terlibat dalam program-program ini mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak jawatankuasa.

Read more...

Monday, January 4, 2010

SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KE LAMAN UNIT j-QAF, SEKOLAH KEBANGSAAN SRI SURIA (1), TANAH MERAH, KELANTAN.

Read more...

Wednesday, December 30, 2009

WASIAT MENDIDIK ANAK BERIMAN


BAPA memikul tugas amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga. Dalam melaksanakan tugas itu, bapa perlukan petua kerana ia memainkan peranan penting dalam mendidik anak. Wasiat Lukman al-Hakim adalah yang perlu sentiasa dipegang kerana petua ini dinukilkan dalam al-Quran. Ia adalah sumber terbaik untuk diambil hikmahnya dalam hal berkaitan pendidikan anak. Al-Quran menghidangkan petua dan wasiat bagaimana Lukman mendidik anaknya dalam satu surah khusus diberi nama surah Lukman, khususnya dalam ayat 13 hingga 19.

Justeru, kita perlu mengenali Lukman supaya kita boleh mencontohi beliau. Bagaimana Lukman mencapai makam yang mulia ini, menurut Imam Ibnu Jarir daripada Amru Ibnu Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai perkara itu. Lukman menjawab: “Semua itu adalah kehendak Ilahi. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atas diriku. Aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku.” Itulah jawapan Lukman al-Hakim ketika ditanya bagaimana beliau mampu mencapai makam yang tinggi sehingga menjadi contoh di kalangan masyarakat ketika itu, malah sampai ke hari ini.


Ramai di kalangan ibu bapa tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ yang diberikan Lukman al-Hakim kepada anaknya itu adalah teknik khusus untuk golongan bapa dalam mendidik anak. Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, nescaya anak akan lahir sebagai Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Abd Rahman Hassan Al-Maidani berkata menerusi bukunya Fiqh Dakwah, bahawa di sana ada 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Lukman mendidik anaknya menerusi ‘wasiat’ ini. Pertama, tauhid lawannya syirik. Tidak mensyirikkan Allah.


Disebutkan dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah adalah kezaliman yang amat besar. Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa sebagai Pemelihara alam semesta) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Allah sebagai Ilah, satu satunya Tuhan yang disembah, agungkan diutamakan). Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat sepatutnya. Mengapa syirik dikatakan zalim? Sudah disepakati bahawa Allah yang menciptakan makhluk semesta alam dan Dia juga yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah dengan kuasa yang lain, maka dia sudah melakukan kezaliman. Allah saja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tidak mampu dilakukan kuasa lain. Tetapi, jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman.


Inilah yang diperkatakan menerusi ayat 13, surah Lukman yang bermaksud: “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah kezaliman yang amat besar.” Kedua, syukur. Lukman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat-Nya yang tidak terhitung luas dan banyak. Kesyukuran mengandungi erti balasan perbuatan indah dan baik dengan perbuatan juga baik dan indah. Termasuk di dalam erti kata syukur ini ialah beribadah kepada-Nya dengan melakukan ibadat yang disyariatkan, mendekatkan diri kepada-Nya, menuntut keredaan-Nya dan memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepada-Nya yang Maha Esa.


Memuji lebih umum daripada bersyukur kerana hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji apabila bersifat dengan sifat yang baik, hatta yang dipuji itu tidak melakukan sesuatu kebaikan terhadap pemuji. Dan peringatan kesyukuran kepada Allah ini dikaitkan dengan pembalasan pada kari kiamat. Sekiranya kesyukuran itu kepada Allah, maka akan mendapat balasan pahala dan jika sebaliknya akan mendapat balasan seksaan di atas kekufuran dan keingkaran. Inilah yang diperkatakan melalui ayat 14, surah Lukman yang bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada-Ku tempat kembali.”


Ketiga yang dibangkitkan Lukman al-Hakim dalam wasiatnya ialah mengenang budi ibu bapa. Lukman mendidik anaknya supaya mengenang budi dan berterima kasih di atas susah payah dan jerit perih ibu bapa membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan. Tunaikan hak kedua-duanya terutama kepada ibu kerana ibu bersusah payah bermula dari proses mengandung sehingga melahirkan anak, menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama dua tahun, membelai dan mendidik siang malam. Ketaatan kepada ibu bapa (walaupun berlainan agama) adalah wajib kecuali apabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan Islam.


Lihatlah tingkatan terima kasih (syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini di mana terima kasih kepada ibu bapa datang selepas syukur kepada Allah. Inilah yang diterangkan melalui ayat 14, surah Lukman bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu! Kepadaku tempat kembali.” Perkara keempat, tidak taat kepada arahan perkara maksiat.


Lukman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya daripada mentaati ibu bapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan Allah dan perbuatan maksiat yang dilarang-Nya. Namun, sebagai anak, ibu bapanya harus dilayani, ditemani dan digauli dalam suasana penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan, menghormati dan berkhidmat kepada mereka. Inilah yang diterangkan melalui ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan kalau kedua-duanya memaksa engkau supaya menyekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui, janganlah dituruti; dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut.”


Kelima, ikutlah jalan orang salih. Lukman menasihati anaknya supaya melalui jalan yang dilalui orang salih iaitu mereka yang kembali bertaut kepada Allah dengan keimanan, ketaatan dan meredah jalan yang lurus. Mereka yang kembali kepada Allah adalah daripada kalangan rasul, nabi, orang benar dan sesiapa saja yang mengikuti mereka dengan keikhlasan dari kalangan orang mukmin. Inilah yang diterangkan ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan turutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku.”


Keenam, sentiasa ingat hari kiamat dan pembalasan. Lukman berpesan kepada anaknya supaya melakukan ‘pemerhatian’ hari kiamat dan arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini. Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Lukman bermaksud: “Nanti kamu akan kembali kepada-Ku dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” Ketujuh, setiap amal (tersembunyi atau terserlah) akan dihisab oleh Allah Maha Mengetahui. Lukman menerangkan kepada anaknya akan syumul ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah bebas melakukan apa saja tanpa ada halangan, mendatangkan sesuatu yang diinginkan-Nya daripada segenap tempat yang tidak mampu dibuat makhluk.


Sesuatu kebaikan, kejahatan, kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh dalam batu, di hujung langit atau terbenam sedalam di dasar bumi akan didatangkan Allah pada hari kiamat untuk dihisab dan diberi ganjaran dosa atau pahala. Inilah yang diterangkan melalui ayat 16, surah Lukman bermaksud: “(Kata Lukman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tersembunyi) dalam batu, di langit atau di bumi, itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal yang halus) dan Cukup Tahu.”

Oleh : Endok Sempo Mohd Tahir

Read more...

Wednesday, August 6, 2008

LAGU SK SRI SURIA (1)



Read more...

Followers

WEBLOG SK SRI SURIA 1: UNIT j-QAF

Weblog ini memaparkan program, aktiviti dan informasi mengenai warga sekolah khasnya program-program j-QAF.

  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP