Tuesday, July 8, 2008

SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN SRI SURIA (1), TANAH MERAH, KELANTAN.

Keluasan Tanah : 6.3 ekar
Alamat : Jalan Klinik, Tanah Merah, Kelantan.
Lokasi : Luar bandar

PENUBUHAN
Sekolah Kebangsaan Sri Suria (1), pada asalnya adalah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Tanah Merah telah ditubuhkan pada tahun 1956. Nama asal sekolah ini ialah Government English School Tanah Merah. Pada tahun 1975, nama sekolah ini telah ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan Sri Suria, kerana mulai dari tahun itu media bagi semua darjah ialah dalam Bahasa Malaysia. Pada asasnya penubuhan sekolah ini adalah hasil kesedaran para ibu bapa dan pegawai-pegawai kerajaan dalam jajahan ini untuk menubuhkan sebuah sekolah aliran Inggeris. Sebuah jawatankuasa telah dibentuk dan dinamakan ‘Jawatankuasa Pelajaran Tanah Merah’. Jawatankuasa ini telah ditubuhkan dalam tahun 1955 dan jawatankuasa inilah yang bertanggungjawab atas penubuhan sekolah ini.



BANGUNAN SEKOLAH
Semenjak ditubuhkan pada tahun 1956, sekolah ini telah menumpang di bangunan Sekolah Melayu Tanah Merah sehinggalah ke tahun 1959. Pada pertengahan tahun 1959, sekolah ini telah mendapat sebuah bangunan baru yang mengandungi enam bilik darjah, dua tandas, dan sebuah stor di atas tanah seluas 6 ekar.

Oleh kerana perkembangan pesat dalam bidang pelajaran dan pertambahan murid-murid sekolah menengah yang begitu cepat, maka bangunan sekolah ini telah diambil oleh Sekolah Menengah Dato’ Mahmud Paduka Raja untuk dijadikan sekolahnya pada tahun 1970.


Mulai tahun itu sekolah ini telah menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Tanah Merah dan murid-muridnya belajar di sebelah petang. Secara kebetulan pula bangunan asrama Sekolah Menengah Dato’Mahmud Paduka Raja telah siap akhir tahun 1973. Setelah berunding dengan pihak sekolah tersebut serta Jabatan Pendidikan Kelantan maka sekolah ini telah dibenarkan menggunakan bangunan asrama tersebut sebagai sekolah sementara bangunan baru sekolah ini dibina. Mulai tahun 1974 sekolah ini menggunakan asrama Sekolah Menengah Mahmud Paduka Raja sebagai bangunan sekolah.

Pada 1 Februari 1995, pembinaan bangunan baru sekolah ini telah dimulakan di atas tanah No.Lot 1/75 yang berkeluasan 6 ekar 30 depa yang berhampiran dengan Pusat Kesihatan Kecil Tanah Merah. Usaha untuk mendapatkan bangunan baru sekolah ini adalah atas desakan dan rayuan daripada jemaah pengurus serta PIBG sekolah ini di bawah Yang Dipertua PIBG En. Ashaari Azmi b. Hj. Abdullah. Usaha tersebut bertambah kuat lagi dengan sokongan yang diberikan oleh Menteri Pelajaran pada masa itu. Yang Berhormat Hj. Mohamad b.Yaacob. Pihak Jabatan Pelajaran Kelantan juga memainkan peranan penting dalam usaha menyegerakan pembinaan bangunan sekolah ini.

SEJARAH NAMA SRI SURIA
Pada 15 Ogos, 1976 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Tanah Merah telah berpindah untuk kali terakhirnya ke bangunan barunya sendiri dan namanya ditukar menjadi SEKOLAH RENDAH KEBANGSAAN SRI SURIA. Perkataan ‘SRI’ adalah sempena ‘Sekolah Rendah Inggeris’. Bangunan baru Sekolah Kebangsaan Sri Suria mempunyai 3 tingkat dengan 18 bilik darjah, 1 bilik guru, 1 ruang pejabat, 4 buah bilik stor dan sebuah perpustakaan, 5 buah bilik darjah di tingkat bawah mempunyai dinding lipat yang boleh dibuka untuk dijadikan dewan sekolah yang mana sekarang dinamakan ‘Dewan Gemilang’.

Satu lagi sejarah perpindahan berlaku pada sekolah ini pada tahun 1974, dimana bangunan lama Sekolah Kebangsaan Tanah Merah telah dirobohkan untuk didirikan bangunan yang baru. Oleh kerana itu, Sekolah Kebangsaan Tanah Merah telah menggunakan sepenuhnya bangunannya yang tinggal itu untuk pengajian sesi pagi dan petang. Beberapa cadangan telah dikemukakan oleh ibu bapa supaya sekolah ini belajar di sebelah petang di tiga tempat berasingan iaitu separuh di SRJK(C)Yuk Cheng. Separuh lagi di Sekolah Arab Al-Ihsan, Bangunan Merdeka, dan sebagainya. Pihak sekolah, jemaah pengurus dan PIBG telah berusaha membatalkan cadangan tersebut kerana terlalu rumit untuk ditadbir.

Era penyerahan bangunan dan kawasan sekolah bermula semula pada tahun 1982, dimana satu blok bangunan satu tingkat terpaksa diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Kelantan untuk dijadikan Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah, Machang, dan Jeli. Pada tahun 1987, sebahagian lagi tapak sekolah ini diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Sri Suria 2. Peristiwa itu tidak terhenti di situ sahaja, di mana pada tahun 1994 sebahagian lagi tapak sekolah ini dan bangunan ini ditumpangi pula oleh Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Suria 3 sehinggalah pada tahun 2002, Sekolah Kebangsaan Sri Suria 3 telah berpindah ke bangunannya sendiri di Padang Che Minah.

Pada tahun 2002, dua buah blok bangunan kayu lama telah dirobohkan untuk didirikan bangunan gantian sekolah 4 tingkat yang baru. Ianya meliputi bilik pejabat, pusat sumber, bilik makmal, bilik kemahiran hidup, bilik muzik, bilik mesyuarat,serta bilik guru. Bangunan ini mula beroperasi pada Januari tahun 2003. Pada bulan Disember tahun 2003 pula, bilik pra sekolah telah mula dibina dengan mengubahsuai dua buah bilik darjah di blok bangunan kayu yang lama. Kelas Pra sekolah ini mula digunakan pada sesi pengambilan 2004. Pada bulan Februari tahun 2004, sekolah ini sekali lagi mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk didirikan 2 tingkat bangunan komputer yang siap sepenuhnya pada bulan Jun 2004. Meskipun menempuh pelbagai cabaran, namun sekolah ini tetap berjaya menjadi ‘Sekolah Perkasa’ yang berjaya menggarap kecemerlangan dan keperkasaannya di bidang akademik, kepimpinan dan kokurikulum.

0 comments:

Followers

WEBLOG SK SRI SURIA 1: UNIT j-QAF

Weblog ini memaparkan program, aktiviti dan informasi mengenai warga sekolah khasnya program-program j-QAF.

  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP